Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Skip Navigation LinksLatar Belakang


Jabatan Tanah merupakan salah sebuah Jabatan Kerajaan yang tertua di Negara Brunei Darussalam. Pentadbiran Tanah secara moden yang berjalan pada masa ini adalah berasaskan kepada Kanun Tanah yang dikuatkuasakan pada 6hb September 1909. Dengan adanya Kanun Tanah ini maka terbentuklah sistem pendaftaran hak milik tanah yang mana menghendaki tanah-tanah yang diberi hak milik itu untuk disahkan dan dikeluarkan surat hak milik iaitu geran sebagai memberikan jaminan kepada pemilik tanah ke atas tapak-tapak tanah berkenaan. 

Pada peringkat awalnya, pentadbiran tanah telah dikendalikan oleh British Resident yang mempunyai kuasa mengeluarkan surat hak milik kepada permohonan-permohonan tanah sehinggalah "Pengistiharan Perlembagaan" pada tahun 1959 yang mana kuasa memberi hak milik adalah di bawah kuasa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam Majlis Mesyuarat.



Tahun 1950an Penempatan Jabatan Tanah Di Bangunan Pejabat-Pejabat Kerajaan Dikenali Sebagai Bangunan Setiausaha Kerajaan



Tahun 1969 Jabatan Tanah Berpindah Ke Bangunan Di Jalan Senuai, Kumbang Pasang


Tahun 1982 Jabatan Tanah Berpindah Ke Bangunan JKR, Lapangan Terbang Lama, Berakas


Tahun 1997 Jabatan Tanah Berpindah Ke Bangunan Masa Kini


Sejak dari awal penubuhanya, Pejabat Tanah telah melalui beberapa perubahan dalam tugas utama yang diselenggarakan. Menjelang Perang Dunia Kedua, tugas-tugas utama Pejabat Tanah adalah menerima, menyiasat dan mendaftarkan tuntutan-tuntutan tanah dari orang ramai. Sehingga sekarang, permohonan-permohonan tanah ini terus diproses mengikut penelitian dan dasar-dasar semasa.

Pada masa ini, Jabatan Tanah mengendalikan lebih daripada 20 jenis permohonan bersesuaian dengan kehendak Negara, seperti mengendalikan permohonan-permohonan dari orang ramai bagi Skim Penempatan, Skim Penggeranan Tanah LTS, Permohonan Menukar Syarat Khas Tanah, Permohonan Pindak Milik Tanah, Penggantian dan Taksiran Tanah-Tanah yang diambil balik untuk projek-projek Kerajaan, dan lain-lain lagi. 

Selain itu, Pejabat Tanah juga mengeluarkan kebenaran pendudukan tanah kerajaan secara sementara atau lebih dikenali sebagai Lesen Tumpang Sementara (LTS). Pada masa dulu, tanah-tanah LTS hanyalah untuk tanaman sementara sahaja, tidak seperti sekarang ini di mana ianya dibenarkan untuk berbagai-bagai kegunaan.

Dengan pengistiharan Tanah Simpanan (Land Reserve) untuk jalan raya dan sungai-sungai pada tahun 1951, dan pelancaran Rancangan Kemajuan Negara yang pertama pada tahun 1953. Jabatan Tanah selain daripada terlibat dalam tugas-tugas menentukan tapak untuk projek-projek Kerajaan, juga memproses ganti rugi dan gantian-gantian tanah kepada orang ramai.